---------------------SELAMAT DATANG KEPADA SEMUA WARGA TEKNOLOGI BERASASKAN KAYU POLITEKNIK SHAH ALAM/POLITEKNIK SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH------------------

POKOK BULOH

Spesis Pokok Buluh Di Malaysia
Buluh tergulung di dalam keluarga Gramineae, iaitu sekeluarga dengan jenis rumput termasuklah rumput-rampai, padi, jagung, tebu dan gandum. Lebih tepat lagi buluh berada di bawah sub-keluarga Bambusoideae. Manakala sub-keluarga ini mengandungi genus-genus seperti Bambusa, Dendrocalamus, Dinochloa, Gigantochloa, Schizostachyum dan lain-lain lagi.
Di Semenanjung Malaysia terdapat 7 genera buluh dan mengandungi sebanyak 44 jenis semuanya (Holttum 1958). Buluh yang dikenali sebagai kumpulan rumput gergasi serta berbatang keras pada dasarnya mempunyai dua (2) tabiat pertumbuhan iaitu berumpun dan jenis tunggal (dominan). Genera yang lazim terdapat adalah Bambusa, Chusquea (ditanam), Dendrocalamus, Dinocloa, Gigantochloa, Phyllostachys (ditanam), Racemobambos, Schizostachyum, Thyrosostachys (ditanam).
Buluh sering didapati hidup subur di dalam hutan lembap tropika khususnya di kawasan-kawasan berhampiran lembah sungai, di hutan-hutan sudah dibalak (tanah pamah dan di atas permatang), di dalam belukar (hutan peringkat kedua), di kawasan-kawasan hutan yang telah musnah dan terbiar akibat aktiviti pertanian pindah, pembukaan tanah untuk pertanian dan juga pembalakan.
Di dalam hutan di Malaysia dan juga di negara-negara Tropika yang lain sering dijumpai buluh tumbuh menegak serta berumpun-rumpun seperti Gigantochloa spp., Dendrocalamus spp. dan Bambusa spp.
Di negara kita taburan buluh biasanya boleh didapati daripada paras laut hingga 1000m tinggi. Ia boleh hidup dikebanyakan kawasan seperti di tebing-tebing sungai, tanah rata hingga ke lereng-lereng bukit. Kawasan yang tidak sesuai untuk penanaman buluh ialah di kawasan berpaya dan terendam dengan air (kawasan berlumpur).
Buluh hidup subur di kawasan yang mempunyai saliran yang baik khususnya pada tanah pasir peroi (sand) sehingga ke tanah liat peroi. Di samping itu tanah berasid khususnya yang mempunyai keasidan pada tahap pH 5.0 - 6.5 adalah paling sesuai bagi tanaman buluh.
Semasa pemilihan kawasan untuk penanaman buluh, selain daripada ciri-ciri di atas, faktor yang terpenting perlu diambil kira ialah sumber air untuk penyiraman. Air amatlah penting di peringkat awal selepas penanaman.
Terdapat lebih kurang 12 spesis yang biasa digunakan untuk tujuan komersial. Lima (5) spesis ditanam dan hanya terdapat di sekitar kawasan kampung dan selebihnya hidup liar di tepi-tepi sungai, di kawasan hutan yang telah dibalak dan di sepanjang sungai. Di dapati tujuh (7) spesis buluh yang hidup liar boleh diambil rebungnya seperti di Jadual di bawah.


Nama Tempatan
Nama Saintifik
Penghasilan/Kegunaan
Buluh Beting
Gigantochloa levis
Rebung Dan Batang
Buluh Minyak
Bambusa vulgaris
Rebung Dan Batang
Buluh Tumpat
Gigantochloa ligulata
Rebung Dan Batang
Buluh Semantan
Gigantochloa scortechinii
Batang
Buluh Beti / Raga
Gigantochloa wrayi
Rebung Dan Batang
Buluh Semeliang
Schizostachyum grande
Batang
Buluh Dinding
Schizostachyum zollingeri
Batang
Hanya dua (2) spesis buluh liar yang biasa diambil rebungnya dan mempunyai pasaran yang baik ialah Buluh Beting dan Buluh Tumpat. Terdapat juga beberapa spesis buluh yang ditanam mempunyai nilai komersial yang tinggi adalah seperti Jadual di bawah.


Nama Tempatan
Nama Saintifik
Penghasilan/Kegunaan
Buluh Duri
Bambusa blumeana
Rebung Dan Batang
Buluh Galah
Bambusa heterostachya
Batang
Buluh Betong
Dendrocalamus asper
Rebung Dan Batang
Buluh Lemang
Schizostachyum brachycladum
Rebung Dan Batang
Gambar Spesis Pokok Buluh

Hiasan eksotik buluh kian diminati

Oleh Rohaniza Idris
roha@bahrian.com.my

Spesis buluh minyak, betong paling sesuai jadi penghias taman

POKOK buluh sering menjadi hiasan laman berkonsep Zen, Jepun dan Cina kerana ia dikatakan menjadi ciri utama laman sedemikian.

Namun, kini buluh bukan saja menjadi pelengkap laman turut dijadikan bahan menata hias ruang hiasan dalaman rumah.

Dalam seni hiasan laman, pokok buluh biasanya menjadi pelengkap eksotik kerana rupa bentuknya yang unik selain tanaman berkenaan dikenali sebagai pokok tahan lasak.

Sejak kebelakangan ini, buluh dijadikan kemasan untuk kawasan sekitar kolam, pelantar dan dinding laman dengan pelbagai sentuhan unik, warna dan reka bentuk.

Seni hiasan laman terkini turut menampilkan ciri tradisional dengan sentuhan kontemporari dan buluh sering menjadi pilihan pereka laman kerana ia hiasan yang tidak ‘lapuk’ dan boleh disesuaikan untuk apa konsep pun termasuk moden.

Ada kira-kira 100 jenis buluh dengan pelbagai warna, bentuk dan tekstur, buluh sering dijadikan hiasan bagi melengkapkan seni laman kediaman.

Buluh adalah pokok daripada kawasan tropika berdaun lebat berwarna hijau dengan batangnya boleh hidup memanjang sehingga lebih 30 meter dan dikenali sebagai tumbuhan tropika paling panjang.

Di Asia Tenggara, buluh banyak digunakan dalam seni bina termasuk rumah, wakaf, sangkar binatang dan pagar serta pelantar.

Di negara ini, buluh hidup liar di pinggir hutan dan kawasan tebing sungai. Di kampung tradisi tumbuhan ini hidup liar namun menjadi punca rezeki penduduk manakala di bandar ia menjadi tanaman hiasan yang menarik.

Di anggarkan jumlah kawasan yang ditumbuhi buluh di Semenanjung Malaysia kira-kira 329,000 hektar.

Di seluruh dunia ada 75 jenis dan 1,250 spesies buluh yang dikenal pasti dan taburan buluh di dunia adalah meluas dan habitat pertumbuhan aslinya ada di semua benua kecuali Eropah.

Buluh boleh di kumpulkan kepada dua kumpulan besar iaitu mempunyai pertumbuhan tunggal (monopodial) dan pertumbuhan berumpun (simpodial).

Buluh yang tumbuh tunggal hanya tersebar di kawasan beriklim sederhana manakala di kawasan tropika pula pertumbuhan adalah berbentuk berumpun.

Di Semenanjung Malaysia, kira-kira 13 spesies buluh digunakan secara meluas dalam industri kecil, industri kraftangan dan pengeluaran buluh. Antaranya, Buluh Duri (Bambusa Blumeana), Buluh Galah (Bambusa Heterostachya), Buluh Minyak (Bambusa Vulgaris), Buluh Betong (Dendrocalamus Asper), Buluh Akar/ Tali (Dendrocalamus Pendulus) dan Buluh Semantan (Gigantochloa scortechnli)

Namun, Buluh Minyak dan Buluh Betong sering menjadi pilihan untuk seni hiasan laman kerana rupanya yang cantik dan unik untuk seni hias taman.

Dikenali sebagai hasil hutan bukan kayu yang serba guna, buluh mempunyai nilai komersial yang tinggi khususnya di kalangan masyarakat luar bandar.

Tambahan pula habitat buluh yang hidup meliar serta meluas dan mudah diperoleh di kebanyakan hutan walaupun sering di labelkan sebagai “kayu miskin”.

Kebiasaannya, buluh boleh ditanam terus di atas tanah tanpa mengguna pasu dan bekas. Namun, menanam buluh di dalam pasu dan bekas memudahkan kerja mengawal pembiakannya.

Dengan akar yang berselirat, adalah lebih mudah menanam buluh dalam pasu dan bekas kerana mudah untuk mengawal pembiakannya dan menjimatkan kerja menyelenggara serta memudahkan kerja menata hias laman.

Dengan baja, tanah dan air yang mencukupi, biasanya buluh dalam pasu dapat bertahan bertahun lamanya. Sifat buluh yang tahan lasak juga menyebabkan ia menjadi pilihan ramai untuk laman.

Biasanya, buluh tidak memerlukan air yang banyak jadi bagi mereka yang tiada masa untuk menyiram tanaman sesuai memilih buluh sebagai pelengkap laman.

Selain menjimatkan masa dan wang untuk menyelenggara, buluh juga menjimatkan ruang kerana ia tidak tumbuh menjalar tetapi membesar dengan meninggi. Untuk itu, ia sesuai sebagai hiasan laman di ruang sempit seperti di balkoni.





MEMO

TOLONG BAGI NAMA DAN ALAMAT SERTA PEKERJAAN SEKARANG H/P NO. SAMA EK